Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

17 April 2015

Tips mendapatkan kebaikan yang sentiasa mengalir.

Bismillahirrahmanirrahim.
Semoga coretan ini, ada manfaatnya. Tidak banyak, sedikit pun mencukupi.

Jika kita melihat sisi kehidupan ini dengan pandangan iman, pasti Allah akan bukakan pintu hikmah buat kita.

Kadangkala Allah tangguhkan keinginan kita bukan kerana Dia tidak mempedulikan kita, tetapi Dia ingin memberi yang lebih baik buat kita.

Kadangkala Allah beri berat dalam menggalas amanah dan tanggungjawab bukan Dia tidak sayang kepada hambaNya, tetapi dia ingin mengukur sejauh mana kesabaranmu dan keyakinanmu kepadaNya semata.

Maha bijaksananya Allah meliputi sekalian makhlukNya dan alam semesta yang diciptakanNya. ma a'zhama!

Hati terhibur melihat perkembangan anak didik Baitul Hikmah dalam pembelajarannya. Semakin lancar anak didik Alquran membaca Iqra' dan Alquran dengan bertajwid berserta makhraj yang hampir tepat.

Hati terubat melihat semangat jiwa seorang ibu, wanita berkerjaya dan warga tua mengaji dengan penuh kesungguhan. Sedangkan aku, kelas hafazan sering culas, pengajian diploma Agama terabai. Kembali bersemangat mengenangkan anak-anak didikku semua ini, akan usaha untuk berjaya! Cukuplah aku tewas sekali, tidak untuk pengakhiran ini.

Ada sahaja tawaran temuduga yang kuperolehi kerajaan, swasta, perbankan, pengauditan, permodalan. Semua itu tidak dipandang. Sudah nekad di hati, ingin berbakti dan mendidik tanpa sebarang syak. Sedikit itu biar berkat, cukup, dan boleh membahagiakan mak dan abah. Serba sedikit dapat disalurkan kepada pengajian Baitul Hikmah. Itu sudah mencukupi.

Di bawah ini kukongsikan tips mendapat kebaikan yang sentiasa mengalir.

1) Ajarkanlah ilmu Alquran.
2) Sedekah tenagamu, jangan minta dibayar. Jika menawarkan kaedah pembayaran, bimbang mengajar untuk mendapatkan sumber kewangan semata. Memanglah pada awalnya rasa macam ikhlas, tetapi kelamaannya akan mengharapkan duit sahaja. Lebih baik jangan sekali mengharapkan balasan.
3) Berikan secara percuma naskhah Iqra' atau AlQuran kepada anak didik sebagai penghargaan jika dia dapat meneruskan ke tahap yang seterusnya. Sebanyak mana mereka baca, insyaaAllah yang memberinya naskhah itu turut memperolehi ganjaran yang setimpal daripada Allah.
4) Mewakafkan AlQuran kepada hafiz madrasah di kawasan pedalaman dan negara-negara miskin.
5) Menghadiahi AlQuran kepada sahabat handai yang meminati untuk mempelajari Alquran. Warga tua sesuai untuk diberikan AlQuran besar, Remaja yang cantik, Kanak-kanak pula yang berwarna-warni.

Hari-hari yang berlalu telah dihiburkan dengan keletah anak didik di pengajian Baitul Hikmah dan di sekolah. Lebih dirasai pengajian Baitul Hikmah di rumah. Mana tidaknya setiap hari mereka akan mengaji. Bahkan mereka yang seramai 12 Orang ini selalu meghidupkan surau keluarga kami. Pengajian disebelah malam, lebih kepada santai seperti bacaan yaasin, makan-makan, menonton video, kelas tajwid dan mendengar tazkirah. Baru sahaja selesai mengendalikan kelas mengaji. Untung mereka, semalam kakak sudah sedekah makan bubur jagung, Hari ini makan aiskrim daripada mak. Dahulu selalu dihidangkan air jika ada kelas malam, sekarang ada rezeki sedikit, bolehlah memberi makanan. :-)

Benarlah, jika kita ikhlas, Allah akan hadirkan jiwa-jiwa yang ikhlas bersama dengan kita. Bersyukur mempunyai keluarga yang meraikan masyarakat setempat. Alhamdulillah. :-)

Allah susun cantik perjalanan ini. Baru menerima undangan walimah daripada junior Usim merangkap timbalan exco ana. Junior adalah seorang kakak kepada ana. Tetapi patuhnya kepada ketua walaupun ana muda daripadanya. Itu membuatkan ana cukup ingat kepadanya. Ana sangat diraikan olehnya. Majlis tunang pun diberitahu, inikan pula walimah. Beria benar menjemput walaupun jauh. InsyaaAllah pasti diraikan. Menerima undangan walimah daripada 3 teman akrab. Bersusun... Mei, Jun, Julai. Terengganu ke Melaka ke Perlis. Dasar ukhuwah pasti dipenuhi insyaaAllah.

Hidupku damai dan tenteram dengan perjalanan ini. Semoga Allah meredhai jalan ini. Semoga Allah iringi redhaNya buatku ke syurga. Aamiin.

p/s: Penulis ada misi pada hari esok. Allah izin untuk bercuti 2 hari sambil berprogram bersama warga pendidik di Janda Baik. Rindu suasana semulajadi. :-)

11 April 2015

Tenang dan Redha.

Setiap jiwa yang lahir dengan ketenangan pasti mengharapkan pulang kepada penciptaNya dengan tenang jua.

Perjalanan hidup juga perlu ditempuhi dengan ketenangan. Bukan hanya pada peng'awal'an dan juga peng'akhir'an yang diharapkan, bahkan per'tengah'an jua. Mudahan Allah izin hidup ini dilimpahi ketenangan, meskipun diuji dengan berbagai ujian dalam kehidupan. Sungguh Allah sayang hamabaNya. Apakah kalian melihat orang yang tenang itu sentiasa tidak diuji? Mereka itu lebih hebat ujiannya daripada siapa yang melihatnya. Orang yang tenang tidak membiarkan kesusahannya dinilai manusia, tidak meminta simpati untuk membantunya, bahkan dia sistematik dan bijak dalam mengatur masalah mahupun ujian yang dihadapinya. Dia hanya mengadu seadanya dengan tuhanNya. Hanya tuhanNya tempat dia meminta.

Alternatif mengubat dan mencegah jiwa muda yang tidak tenang dalam menguruskan ujian mahupun masalah yang dihadapi tidak lain adalah kembali kepada hati yang Allah redha. Setiap masalah berbalik kepada hati. Niat yang baik berkesinambungan dalam memperolehi hati yang bersih. Begitu juga sebaliknya. Selidiki kembali niat kita. Redhakah kita dengan Allah? Redhakan kita dengan Islam? Redhakah kita dengan Rasulullah S.A.W. Jika semua itu tidak, tajdid niat (perbaharuilah niatmu) agar tidak jauh terpesong dari landasan kebenaran.

Ulama' telah memberikan pelbagai definisi tentang redha. Semuanya mendefinisikannya mengikut apa yang dikecapi dan maqam yang telah dilalui. Menurut takrif redha yang diberikan As-sayyid dalam kitab Ta'rifat "Redha ialah perasaan senang hati dengan kepahitan qadha' atau takdir".

Redha ialah maqam qalbi. Apabila seseorang mukmin telah teguh pada maqam redha, ia mampu berdepan dengan pelbagai tribulasi dan kesusahan dengan iman yang kental, jiwa yang tenang dan hati yang sejuk lagi damai. Bahkan akan meningkat kepada kedudukan yang lebih tinggi. Oleh itu dia akan merasa gembira dan riang dengan kepahitan takdir. Semuanya kerana dia telah mencapai maqam redha itu di sisi Tuhannya. Begitulah, orang yang redha tidak terlihat resah di jiwanya, tidak terlihat letih di wajahnya, begitu juga tidak terkesan sepalit pun pada nilai ibadahnya.

"Sesiapa yang berkata pada waktu pagi dan petang: Aku redha dengan Allah sebagai Tuhan, dengan Islam sebagai Agama dan dengan Muhammad sebagai Rasul, menjadi hak ke atas Allah untuk meredhainya."

Rasulullah S.A.W mengajar sahabat dan menanam di dalam hati mereka sifat redha dengan Allah SWT sebagai Tuhan, Islam sebagai Agama, dan Nabi Muhammad S.A.W sebagai nabi dan Rasul. Baginda menyeru kepada mereka supaya sentiasa mengulanginya pada waktu pagi dan petang sebagai menzahirkan apa yang tersembunyi di dalam hati mereka tentang betapa nikmatnya redha terhadap Allah.



Adakalanya takrif redha itu sendirinya mengundang ketidak setujuan dikalangan mereka yang bukan ahlinya. Mereka yang mengingkari redha telah mengatakan; adalah tidak logik bahawa manusia merasai penderitaan dengan keperitan di atas musibah yang ditanggung serta tidak sedar dengan peristiwa yang dialaminya.

Bagi menjawab kepada persoalan ini, perumpamaan telah diberikan. Seperti seorang pesakit yang berasa sakit dengan suntikan ubat serta merasa pahit dan perit berubat tetapi tetap redha dengannya keran dia yakin itu adalah sebab untuk sembuh sehinggakan dia suka kepada orang yang memberikan ubat kepadanya.

فما لجرح إذا أرضاكم ألم
Luka tidak terasa sakit apabila hati telah redha.

Dari aspek lain, seorang yang redha secara tabi'i nya memang merasai kepahitan dan keperitan, tetapi bila merenung terhadap imannya dengan kasih sayang Allah serta hikmahNya, dia yakin bahawa di sebalik setiap perbuatan Allah ada hikmah yang tersembunyi serta pemberian yang terlalu halus untuk dinilai dan dilihat.

Surah Annisa' 19. Allah telah berfirman: "Boleh jadi kamu benci terhadap sesuatu sedangkan Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak."

Ada juga dikalangan yang bukan ahlinya berprasangka silap bahawa redha boleh menyebabkan manusia meninggalkan sifat menghina diri di hadapan Allah dan tidak berdoa, tidak mengambil sebab musabab dalam mendatangkan kebaikan dan menolak bala.

Bagi menjawab kepada sangkaan ini, hakikat redha kepada Allah ialah seorang mukmin beramal dengan amalan yang boleh mendatangkan keredhaan kekasihnya Allah SWT, juga meninggalkan segala perkara yang menyalahi suruhanNya serta meninggalkan perkara yang melanggar keredhaanNya. Jika tidak melakukan semua perkara itu, bermakna kita menyalahi perintah Allah serta bertentangan dengan keredhaanNya.

Allah SWT juga menyuruh hambaNya untuk meminta kepadaNya, nescaya akan diperkenankan akan permintaannya itu. (Surah Ghafir-60).

Redha dengan qadha' bukan bermakna mesti keluar daripada hudud syara' sebaliknya ia bermaksud tidak membantah Allah Taala secara zahir dan batin. Hasilnya, kita akan sampai kepada apa yang disukai dan diradhaiNya iaitu dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala laranganNya.

Nikmat redha merupakan faktor ketenangan yang menyelubungi jiwa orang arifin. Ia merupakan sebab yang paling kuat dalam menghapuskan sifat putus asa yang berlegar di benak fikiran apabila tidak mendapat bahagian dalam kehidupan dan kesenangan.

Hati yang tenang itu bermula dari redha. Bermula redha itu daripada sabar. Tidak sabar, tidak akan redha. Tiada sabar jika tiada iman. Maka berimanlah. Redha akan membahagiakan hati. InsyaaAllah.

Rujukan: Haqaiq Tasawuf (Silibus tasawuf sem 5 Usim Nilai) Karangan Syeikh Abdul Qadir Isa Rahimullah.

10 April 2015

Ujian Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.
Allah izin untuk mencoretkan sesuatu pada hari ini. Jumuah barakah amat dinantikan. Mengapa? :-)

Alhamdulillah, ayuh sama-sama kita panjatkan rasa kesyukuran kepada Allah S.W.T. di atas nikmat Iman dan Islam Allah hadirkan jua hati-hati ini untuk bersama dalam ruangan ilmu yang tidak seberapa ini. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. di atas perjuangan dan pengorbanannya dalam menegakkan agama suci Allah di muka bumi ini. Beruntunglah bagi mereka yang mencintai nabi hanya kerana Allah. Sollu 'alan nabiy.

Seperti nak berucap depan majlis pula dah ni :-)

Segala puji bagi Allah yang maha menghidupkan juga mematikan. Nikmat rehat dirasai, Alhamdulillah. Hakikat kepenatan itu tidaklah seteruk pejuang di medan perang. Bagi diri ini yang lemah tidak berdaya, merasai kepenatan seharian. Allah uji dengan nikmat sakit. Mujurlah hati kata tidak kepada sakit. Badan masih kuat bergerak menjalankan misi ke arah hidup lebih bermakna.

Hari jumaat penghulu segala hari amat dinantikan. Mengapa? Hari yang penuh barakah, dijanjikan keberkatan sepanjang minggu yang akan mendatang. Tambahan pula, sabtu dan ahad cuti. :-) Semangat menghampiri cuti, dapat berehat bukan? Tetapi diri ini, cuti itu tidak cuti. Ada sahaja aktiviti, program dan juga perancangan yang sudah dijadualkan. Jangan ambil peduli bisikan syaitan yang menjatuhkan semangatmu, peduli pada usahamu adakah Allah menilainya? Paksa ikhlas, pasti ikhlas bertamu dikemudiannya.

Saat Allah uji target hafazan pada bulan ini lewat. Hampir menangis dengan diri ini. Sungguh aku banyak dosa kepadaMu Allah. Maafkan aku ya Allah. Izinkan hambaMu ini mengejar rahmatMu dan memelihara kalamMu. Tidak ku pinta emas dan harta di dunia, tetapi hanyalah redhaMu. Izinkanllah walaupun terlewat. Tetapkan aku dengan nikmat mengulang dalam setiap keadaan. Nasihat murobbi, untuk kejar target adalah datang dari usahamu. Perlu lebih usaha. Usaha.

Menurut murobbiku,
mengajar Alquran tidak sah jika tidak menangis kerana tingkah laku anak murid. Begitu juga dalam menghafaz Alquran, pasti tidak sah jika tidak menangis. Bahkan kerap. Mengapa? Berasa diri ini sangat lemah dan banyak dosa. Seolah-olah berasa dosa apakah yang dibuat sehingga begitu berat sekali untuk menggalas amanah ini. Allah uji dalam berbagai bentuk untuk kita kuat. Hajat doa untuk kuat, amat berhajat...

Coretan kali ini sekadar contengan hati. Membebaskan rasa beban dalam fikiran yang ditanggung sepanjang hari. Semoga ada input dan pengajaran yang berkesan. Semoga Allah Redha.

07 April 2015

Pertolongan Cemas

Bismillahirrahmanirrahim.
Allah izin menulis jua. Malam menghampiri pagi, tetap juga ingin mencoretkan sepatah kata. Baru selesai menguruskan segalanya. Hanya waktu malam peluang seadanya dilakukan untuk menguruskan isi hidup dan isi rumah.

Keluar seawal pagi, pulang menghampiri maghrib. Tuntutan belajar dan mengajar, mengajar diri ini untuk kuat. Di sebelah malam, perlu bersiap mengajar anak didik yang berbaris panjang menunggu giliran menyemak bacaan masing-masing, Mendidik di sebelah pagi, di sebelah petang, dan di sebelah malam. Hanya tengah malam sempat menyelesaikan urusan rumah, makan dan minum. Mujurlah tinggal bersama keluarga, serba sedikit kebajikan diri ini terjaga. Tidak dapat terbayang jika tidak terjaga pakai makan dan minum ketika ini. Silap-silap ke hospital mungkin. Kurus tak sempat makan. :-)

Sedikit perkongsian untuk penulisan pada hari ini. Alhamdulillah, untuk hari ini aktiviti kokurikulum Briged Fatayyat mempelajari Asas pertolongan cemas. Sebelum ini, ana mengajar anak didik memasak sandwich. Berubah angin pula, ayuh pelajari asas pertolongan cemas.

Briged Fatayyat merupakan satu pasukan sukarelawan pemudi. Seumpama yang kita pernah dengari, Briged AlQassam. Peranannya lebih kurang sama. Cuma bezanya adalah pemudi, bukannya pemuda. :-) Masih tidak faham? Please check your mr/mrs google. ;-)

Ketika memberi ceramah berkenaan dengan pertolongan cemas, terbit rasa rindu pada PBSM di maahad. Banyak kenangan di sana. Serba sedikit pengalaman yang diperolehi dikongsikan buat anak didik. Allahu, hanya Dia yang tahu betapa aku merindui zaman itu. Saat berkongsi cerita dan pengalaman, anak didik bersemangat mendengar. Tidak menyangka ustazah seaktif itu. Mengendalikan aktiviti perkhemahan dan menyertai banyak ekspidisi mendaki bukit dan gunung. Kenapa perlu hairan? Seluruh melaka sudah ditempuhi hanya dengan bermotor. Pagi hingga ke malam. Sudah biasa. Inikan pula menyertai pendakian bukit dan gunung :-) Tidak pasti untuk usia ini, masih mampu atau tidak. InsyaaAllah minggu hadapan akan ada aktiviti jungle tracking. Tidak sabar mendaki bukit, melihat air terjun. InsyaaAllah, ada rezeki akan ana kongsikan.

Dalam sisa berbaki ini, serba sedikit pertolongan cemas akan ana kongsikan. Sudah melalut entah ke mana ceritanya. :-)

Pertolongan cemas merupakan bantuan awal  atau rawatan awal yang dihulurkan kepada mangsa yang tercedera dengan tiba-tiba sebelum kedatangan doktor, ambulans atau pakar perubatan. Alatan yang digunakan adalah bersifat mudah ditemui dan ia berada disekeliling kita. Tujuan pertolongan cemas dilakukan adalah untuk menyelamatkan nyawa, mengurangkan kecederaan yang dialami oleh mangsa, mengurangkan kecederaan mangsa menjadi lebih parah.

Sedar atau tidak, kita juga pernah memberi pertolongan cemas kepada rakan atau ahli keluarga yang berhampiran dengan kita. Seperti contoh, ana mengambil pengalaman ana sendiri. Ia baru berlaku 2 atau 3 hari yang lepas. Selesai sahaja anak didik Alquran menghabiskan baccan terakhir, tiba-tiba peristiwa tercucuk lidi mengaji di kaki. Allahu, darah yang keluar memancut dan tidak mahu berhenti. Anak didik yang tidak mengerti apa-apa, menangis dan melaung minta diberhentikan darah yang keluar. Dengan serta merta ana membawanya ke paip air  wuduk untuk membasuh lukanya. Sambil menenangkannya, ana bertindak pantas mengambil alcohol cotton, minyak gamat yang berada di dalam rumah serta kain putih untuk membalut luka tersebut. Dalam masa yang sama ana memanggil kakak untuk membantu. Mujurlah kakak seorang doktor, tetapi doktor gigi. Pun boleh.

Alhamdulillah dengan peralatan dan ubat yang sesuai, ikatan yang kemas, dapat membantu darah berhenti mengalir. Kaedah untuk menenangkan anak didik supaya tidak melaung dan menangis juga memakan masa. Hanya mampu tersenyum. Selepas berhenti menangis. Mulalah ana berceramah kepada mereka. Selapas kejadian itu, ana tegas dengan penggunaan lidi. Memberi amaran supaya tidak menyepahkan dan tidak bermain lidi. Anak didik bertambah ramai, sukar dikawal. Selepas ceramah, mereka lebih berhati-hati menggunakan lidi dan banyak duduk diam. Kadangkala perlu ugut juga supaya tidak berlaku lagi. Pesanku, selepas ini, siapa tercucuk di mana-mana sekalipun, ustazah tidak mahu tolong. ;p

Pentingnya kaedah merawat. Ia perlu dipelajari dengan betul, bimbang jika salah akan menjadi lebih parah. Umpama tikus membaiki labu. Jenis ubat, pengendalian rawatan yang cekap, ikatan yang kemas dan cermat, dan lain-lain perlulah dipelajari. InsyaaAllah jika berkesempatan akan berkongsi serba sedikit mengenai perkara-perkara yang dinyatakan.

Orang lain sibuk dengan beli saham, beli emas. Ana sibuk dengan pertolongan cemas. Sudah jiwa ke sini. Bincanglah apa pun, yang dijiwai itu juga yang akan bertakhta di hati. PEACE:-)

Penglihatan mata sudah berganda-ganda. Tanda silalah berehat. Wallahua'lam.

Semoga Allah redha,
Hsnul khatimah.

04 April 2015

Gerhana dalam kepayahan.





Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah Allah beri kesempatan menunaikan solat gerhana bulan di masjid Al 'Azhim. Dalam kereta masih sempat snap lagi :-) Ruangan solat penuh ketika itu, tidak pula Allah izin untuk menangkap gambar. Bukan hobi ana mengambil gambar. Sambil menyelam minum air. Kebetulan menggunakan kamera atas urusan program dan kerja. Gambar di atas di ambil semasa hari-hari yang tertentu ana ke situ.   Bagi menguatkan hafazan dan juga meredakan kekusutan. Tambahan pula depan masjid ini, ana ada mengajar tuisyen. Cantik aturan ALLAH, mengajar tuisyen bersebelahan dengan masjid ini. Mudah bagi diri ini untuk selalu bertemankan masjid. Bimbang fitnah? Allah sudah susun cantik laluan ini, mengapa bimbang dianggap fitnah? Laluan perempuan ada, mengapa juga laluan lelaki nak dilalui? Perbaiki niat, islah hati untuk ikhlas. Susah nak ikhlas, paksa dulu... Lama-lama akan ikhlas.

Menunaikan solat gerhana sebanyak 4 rakaat dan 2 sujud. Pada mulanya ana menjangkakan imam akan membaca surah ringkas, dalam 10 minit boleh habis. Rupanya tidak. Lewat setengah jam ke pusat tuisyen. Solat dalam gundah gulana, ikhlas tak ikhlas. Nak keluar dari saf, ada di tengah pula. Paksa juga hati merelakan dan berhajat untuk meminta maaf kepada pelajar atas kelewatan. Wallahua'lam.

Mengajar pelajar sekolah menengah adakala perlu kepada teknik dan kesabaran. Tambahan pula mengajar nombor dan graf. Perlu kepada penelitian dan penerangan. Tidak memerlukan kepada bacaan, memerlukan tenaga yang banyak untuk memberi tunjuk ajar.

Adab. Sekolah rendah islam lebih beradab, Pusat Tuisyen tahfiz lebih beradab, Pusat tuisyen sekolah kebangsaan perlu diajarkan adab. InsyaaAllah pasti lebih baik dalam beradab. Sebagai seorang penuntut ilmu mesti menunjukkan adab yang baik kepada seorang guru. Kata guru saya, tidak mengapa jika tidak pandai, asalkan punyai akhlak dan adab yang terpuji itu akan memuliakan seseorang. Jika pandai sahaja, maka sia-sialah. Orang seperti ini pasti tidak akan dimuliakan dan terhalang daripada redhaNya. Walahua'lam.

Kesempatan ini, masih mempunyai tenaga yang kuat, zahiriah yang kental, semangat yang tinggi, nikmat sihat yang panjang dan masa yang terluang, ana berkeras ingin memenuhi masa hidup ini dengan belajar dan mengajar. Kelak Allah tarik nikmat hidup, ke manakah lagi tempat untuk menabur bakti buat agama? Setiap hari pasti akan ke sana ke sini. Penat? Siapakah yang selayaknya untuk mengukur penat? Jika tidak penat, bila pula nak rehat di syurga? Jujur, mengajar bukan untuk kaya. Tetapi niat memberi tanpa mengharapkan balasan dan mengambil pengalaman atas dasar tiket untuk mengajar dengan lebih cemerlang. Biiznillah. Jika tiada percubaan dalam satu urusan, kita tidak dapat bandingkan yang mana buruk dan baik. Kajian dan pengalaman perlu dilakukan untuk medapatkan hasil. Itu caranya. Bukan hanya duduk, tunggu nasib. Allah pasti nilai usaha kita.

Semalam sekolah menghantar untuk mengikuti kursus pendidikan bahasa arab. Alhamdulillah, sedikit sebanyak menambah ilmu yang tiada. Mungkin akan dikongsikan di dalam entry yang lain. Ada urusan. Semoga Allah beri nikmat menulis dalam kesederhanaan dan menambah ilmu dengan kekuatanberjuang. Syahidku bukan di medan perang, mudahan syahidku di medan ilmu. Aamiin.

Inni abdan syakura. Inni abdan lillah.

Berkongsi untuk mendapatkan ilmu dan pengajaran.
Wallahua'lam.