Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

31 October 2015

Sangka baik dengan Allah

Bismillahirrahmanirrahim.


عن أبي هريرة - رضي الله عنه - قال : قال النبي - صلى الله عليه وسلم - : يقول الله تعالى
 أنا عند ظن عبدي بي ، وأنا معه إذا ذكرني ، فإن ذكرني في نفسه ذكرته في نفسي ، وإن ذكرني في ملإ ذكرته في ملإ خير منهم ، وإن تقرب إلي بشبر تقربت إليه ذراعا ، وإن تقرب إلي ذراعا تقربت إليه باعا ، وإن أتاني يمشي أتيته هرولة
 رواه البخاري ومسلم .


Allah detikkan hati untuk mencari hadis di atas setelah terdengar tazkirah di radio Ikim. Semenjak berkereta, radio jadi peneman diperjalanan. Tambahan pula, hadis ini diingatkan oleh seorang adik sejawatan ketika memberikan tazkirah kepada anak didik. Walaupun sudah belajar hadis ini di bangku sekolah lagi, Allah tidak izin untuk ingat dalam bahasa Arabnya. Mafhum dan maksudnya insyaaAllah.

Dari Abu Hurairah ra., ia berkata : Rasulullah saw. bersabda : Allah swt. berfirman : Aku menurut sangkaan hambaKu kepadaKu, dan Aku bersamanya ketika ia mengingatiKu. Jika ia mengingatiKu dalam dirinya maka Aku mengingatnya dalam diriKu. Jika ia mengingatKu dalam kelompok, Aku akan mengingatinya dalam kelompok yang lebih baik darinya. Jika ia mendekat kepadaKu sejengkal maka Aku mendekat kepadanya sehasta. Jika ia mendekat kepadaKu sehasta, maka Aku mendekat kepadanya sedepa. Jika ia datang kepadaKu dengan berjalan maka Aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.
Baik sangka kepada Allah, pasti Allah akan bersangka yang baik juga pada kita. Jika kita ragu-ragu, berburuk sangka kepadaNya, Allah akan bersangka seperti apa yang telah kau sangkakan kepadaNya. Yakin dengan setiap ketentuan adalah baik bagimu, yakin dengan doa akan dimakbulkan walaupun lewat. Semua perkara yang akan, sedang dan bakal berlaku atas ketentuanNya hendaklah bersangka baik kepada Allah. Letakkan Allah itu di hati untuk sentiasa diingati. Pastikan setiap masa ada bersamamu untuk menjadi pelindungmu. Dialah sebaik-baik pelindung.

Meletakkan harapan dan janji kepada manusia tidak semestinya akan ditunaikan. Bersahabat adakalanya diuji dengan banyak perkara. Jika kerana Allah pasti tidak mengharapkan balasan. Jika berkepentingan pasti ada sahaja yang mengungkit dan mencari lain. Sepanjang bersahabat kerana Allah, jika tidak dipeduli tidak terasa, jika terlupa untuk hadir ke majlis tidak mengapa, begitu juga jika tidak bertanya khabar mahupun menjawab khabar tidak pun terlintas untuk berfikir yang tidak baik kepadanya. Sentiasa mencari alasan untuk tidak bersangka yang tidak baik kepada sahabat. Begitu juga, jika membantu sahabat yang lain jangan minta untuk dibalas. Harapkanlah redha ALLAH semata.

Tetapi apabila bersahabat untuk kepentingan, sangkaan demi sangkaan yang tidak baik pasti akan hadir di benak fikiran. Wahai manusia, bersahabatlah kerana Allah. Mengapa perlu kau harapkan sesuatu kepada manusia? Sedangkan kau ada Allah yang lebih layak untuk kau berharap.

Jika berharap kepada Allah, Allah akan hadirkan insan-insan yang dipilihNya untuk membantumu di saat kau memerlukan. Allah izin untuk merasainya. Alhamdulillah.

Ana memilih untuk bersahabat kerana Allah. Membantu sekadar yang termampu. Allah izin bersahabat dengan mereka yang tua, lebih tua, muda, sebaya dan lebih muda. Mak kata, ana seorang yang bersungguh-sungguh dalam membantu. Sekalipun tak mampu, usaha untuk membantu. Ana mudah kasihan. Sehingga ada satu hari, sahabat ana beritahu. Dayah jangan baik selalu, nanti orang akan pijak kepala.

Tidak tahu mengapa, Allah izin untuk kuat dengan sifat seperti ini. Bersahabat dengan orang solehah, nilai persahabatan teruji. Allah izin bersahabat dengan sahabat solehah yang mengalami penyakit isim. Dahulu sejak di bangku sekolah, Allah izin dia seorang yang cemerlang tetapi seorang yang pendiam. Allah uji dia berpenyakit isim. Sehingga tahap mengkafirkan Allah, menidakkan ibadah dan menambahkan hukum. Aurat pun tidak dipedulikan. Allahu.

Proses untuk memulihkannya, hanya tuhan yang tahu. Dua tahun bersamanya adalah proses yang sangat menguji. Ini pengorbananku untuk mengubatinya. Daripada perkara akidah, solat, AlQuran, ibadah dan muamalat sedikit demi sedikit diperbetulkan. Hampir setiap hari akan menerima panggilan telefon daripadanya. Kedengaran tangisan, dan persoalan akidah yang belenggu di fikirannya. Alhamdulillah, hasil penjelasan dan teguran hikmah daripada ana. Allah izin dia terima.

Sakitnya datang lagi. Lalu dia datang ke rumah dengan perubahan fizikal yang mendadak tanpa bertudung. Ana sedih. Umminya meminta izin untuk meninggalkan anaknya bermalam di rumah ana. Bermalam dengannya seolah bukan dengannya. Seperti oang lain yang merasuk badannya. Allah uji malam tersebut, malam yang sangat takut. Tetapi, jika kuat hati kepada Allah, mengapa perlu merendahkan martabat untuk takut selain Allah?

Hari-hari yang berlalu, ana pula ke rumahnya.
Ana datang ke rumahnya untuk menjawab soalannya yang pelik-pelik, ajarkan solat, AlQuran balik. Sedihnya ana ketika itu. Begitulah rutinku setiap hari untuk menjawab soalan, memberikan harapan dan lain-lainnya. Sampai satu tahap, ana disuruhnya berkahwin dengan abangnya. Sanggup menyuruh umminya untuk datang melamar. Berhari-hari dia memujuk. Mudah jawapan ana berikan. Persahabatan ini kerana Allah, begitu juga kahwin hanya kerana Allah. Maaf ana tidak boleh menerima seseorang hanya kerana kasihan kepada seorang sahabat. Jika ingin persahabatan ini diteruskan, jangan bicara lagi mengenai perkahwinan. Alhamdulillah sehingga kini, Allah kekalkan persahabatan. Perubahan ada sedikit. Dia sudah berani menghadapi kehidupan dengan akidah yang sejahtera. Apabila sakitnya datang kembali, Allah izin untuk dia dekat dengan AlQuran dan solat. Apabila menerima panggilan yang bertalu-talu, ana wakilkan emak dan kakak untuk mengatakan ana tiada di rumah atas urusan mengajar di luar. Ini adalah untuk kebaikannya. Ana ingin dia berdikari dalam menguruskan kehidupannya. Kelak jika ana tiada, fokus hidupnya mesti bermatlamat redha Allah.

Beberapa hari yang lepas, ana menerima khabar baik. Dia sudah pulih sedikit. Kembali kepada dirinya yang asal. Alhamdulillah. Barulah ana mengambil keputusan untuk berhubung kembali. Atas dasar persahabatan kerana Allah, ana tidak sesekali mengharapkan balasan daripadanya. Perlu apa? Cukuplah Allah bagi ana tersenyum melihat dirinya sihat dan dapat menguruskan hidupnya seperti biasa. Jangan sangka ilmu yang tinggi itu lebih baik. Jika tidak berasaskan akidah yang kukuh, belajarlah setinggi langit kau pasti tersasar. Semoga Allah berkati hidupnya.

Berbuat kebaikan itu satu cara untuk kau dekat kepadaNya. Ana ke mana sahaja, pasti akan tersangkut seorang yang minta jalan untuk keluar dari masalahnya. Tidak mampu menulisnya. Nurhidayah kan maksudnya cahaya petunjuk. Bermasyarakat bersahabat berkebajikan. Allah jaga insyaaAllah.

Ana berkongsi pengalaman di atas sekadar ilmu buat pembaca. Banyak lagi yang hendak di coretkan. Tetapi Allah suruh simpan sebagai amal soleh. Aktiviti harian ana pun tak sempat diceritakan dengan mak. Ini pula menulis? Allahu...

Semakin kau usaha untuk dekat kepadaNya, Allah pasti akan lebih dekat kepadamu. Cinta kepada Allah pasti dibalas, bahkan lebih lagi.

Allah izin dua hari yang lepas menyambut ulang tahun kelahiran. Menerima ucapan demi ucapan. Sungguh doa mereka sangat bermakna. Tidak tahu mengapa. Tahun ini menerima satu doa baru. Tahun lepas tiada pula doa untuk jodoh. Hampir semua mendoakannya yang sama. Kenalan jauh rapat turut mendoakan. P.cik m.cik juga doa yang sama. Adik yang bersekolah pun pandai mendoakan. Umur seperti ini memang sudah berumur agaknya. Mudahan Allah gerakkan hati orang beriman untuk bertemu. Sejauh mana mengharapkan jodoh yang baik? Di tangan ALLAH jawapannya. Usaha kita berdoa dan fokus akhiratNya. Adakalanya ambil hati juga orang tanya bila nak walimah. Ada sahaja sangkaannya. Diam-diam ubi berisi katanya. Orang takut dengan dayah ni, itu yang tak berani masuk. Ke memilih? Jawabku, kalau ada usaha untuk jadi soleh itu sangat bermakna daripada memilih yang lebih baik yang tak kunjung tiba. Utamakan redha Allah, redha Allah terletak pada redha ibu ayah. Fokus redhaNya. Abaikanlah sangkaan manusia, teruskan sahaja misimu untuk menggapai redhaNya. Allahul musta'an.

Hajat doaNya.



26 October 2015

Sedikit demi sedikit.

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah izin lapang. Sedikit demi sedikit berjaya diselesaikan. peperiksaan akhir tahun, UPSR, UPSRI, PT3, dan SPM.
Anak didik berjaya dilepaskan mengambil peperiksaan. Sekarang tiba gilirannya jiwa pendidik untuk menuntut ilmu. Bulan ini sehabis tenaga mengumpulkan kekuatan dan kewangan untuk semata menyambung pelajaran. Hajat doa daripada kalian semua. Sangat merindui zaman belajar.

Saat ingin mengejar ilmuMu Allah. Ada sahaja yang datang mengusik hati ini. Selagi tidak berstatus memang mudah dirisik. Allahu. Bantulah hambaMu ini fokus. Terdedah dengan masyarakat sekalipun, hidayah adalah hidayah. Tidak akan terpengaruh sedikitpun dengan mereka yang mengusik. Jaga hubungan dengan Allah, Allah pasti akan menjaga hubungan sesama manusia. Baik kita, baik jugalah yang akan hadir. Begitu juga sebaliknya.

Tersenyum membawa hikmah. Jalan ini perlu diteruskan. Target harus dicapai. Jika Allah belum izin untuk mencapainya mengikut tempoh target. Ana akan cuba usaha semaksimanya sebelum kematian menjemputku. Bersedia. Menjadi sekuat khadijah.

Alhamdulillah, semakin jauh selepas ini menuntut ilmu. Mak abah memberi kepercayaan sepenuhnya setelah memperolehi lesen kereta. Test sekali sahaja. Dahulu test motor pun sekali. Berpegang kepada prinsip, mesti bersungguh-sungguh, jangan repeat. Begitu juga dalam pelajaran. Meskipun susah, usaha jangan repeat paper :-)  Dapat lesen sahaja sudah bawa jauh. InsyaaAllah. Sebelum ini bermotor. Allah mudahkan berkereta. Menangis dalam kegembiraan. Rupanya mak abah sangat meletakkan kepercayaan yang tinggi kepada diri ini. Berkebajikan mereka izinkan, gerak berdakwah mereka ikhlaskan. Ana sambung belajar pun diizinkan. Meskipun melihat anaknya ini sakit diuji, tetapi mereka mampu memberi kata semangat. Mak kata, rezeki itu boleh dicari. Allah beri cukup. Bersama dengan Allah akan lebih indah. Percayalah.

Perancangan jangka panjang ini perlu diteruskan. Usah termakan oleh kekayaan yang tidak kekal. Usah terpedaya dengan kebahagiaan orang di sekeliling yang tidak kekal lama. Kebahagiaan hakiki itu adalah bersama redhaNya.
Allahul musta'an.

13 October 2015

Coretan Lepas

Bismillahirrahmanirrahim.

Setiap hari yang dilalui perlu diingatkan dengan satu perkara.
Niat.
Meluruskan niat.
Memperbaharui niat. Tajdid niat.
Setiap kali menulis di halaman muka buku, di laman blogger. Hati tersapa. 
Jika tidak tulis, tak dapat sampaikan.
Masyarakat tidak tahu.
Jika berdiam, tidak dikenali.
Orang kurang percaya.
Ingin jadi diri sendiri yang berpegang pada keupayaan dan potensi diri.
Berbahagialah membawa Islam.
Allah sebaik-sebaik pengadil. Mengadili akan niat hambaNya.

Ruang berkongsi, mudahan ada yang beroleh manfaat.
Jika tiada yang beroleh manfaat? Hm... pulangnya kepada penulis yang setia menulis. :-)

Kadangkala bicara mengenai hati, murobbi bertanya tentang hati, Sahabiah tanya masalah hati, anak didik tanya tentang hati, anak usrah tanya tentang hati. Sejauh mana masalah hati. Kita bukan maksum. Satu caranya, usah melayan masalah hati. Bimbang melarat hingga terkesan pada ibadah. 

Laman sosial juga satu faktor membuatkan hati bersarang dengan masalah hati. Meninggi diri, menunjuk diri, semua baik belaka. Susah nak nampak buruk. Kadangkala sikap-sikap tersebut ada pada diri ini. Untuk menghakis perasaan tersebut, ikhlaskan perkongsian demi tuntutan sebuah ilmu. Selain itu, budaya stalker. Tak salah untuk tahu. Tetapi kalau setiap jam, setiap hari stalker bukankah itu mencari kebinasaan sendiri. Cukuplah hanya berpegang kepada sekali sahaja untuk tahu. Selainnya abaikan. Berjihad dengan nafsu itu lebih besar tuntutannya berbanding berjihad di medan perang. Penulis juga mempunyai fitrah seperti orang lain untuk mengetahui. Stalker, taip sahaja nama muncullah orangnya. Sejauh mana dan sedalam mana keinginan untuk tahu? Jangan pula biarkan mata hatimu tertutup untuk membezakan antara tahu ilmu atau tahu maksiat. 

Kaedah ini mudah untuk membezakannya. Jika hati berdebar malu dengan Allah datang dengan tiba-tiba, itulah maksiat. Maka bersegeralah tinggalkan perkara tersebut. Sungguh Allah tidak meredhai perkara itu. Waspada dengan hatimu.

Memetik satu ayat AlQuran daripada pembacaan nukilan imam Al-Ghazali.
Sesungguhnya, pada yang demikian itu menjadi pengajaran bagi orang yang mempunyai hati. Qaf:37

Like banyak atau like sikit, asalkan punya usaha untuk menyampaikan. Bersahabat di alam maya, perlu kepada sangka baik yang sangat tinggi. Keberkesanan dakwah bukan terletak kepada banyaknya like, banyaknya share. Ia terletak pada kesan pada hati yang menerimanya. Adakalanya ana pernah menerima mesej peribadi, wassap persendirian. Mereka menyatakan masalah, meminta tunjuk ajar, bertanyakan soalan dan lain-lain lagi. Rupa-rupanya, mereka terkesan dengan tulisan yang telah dikongsikan. Walaupun tiada like, tidak share, rupanya mereka pegang pada kata-kata yang ditulis dalam diam. Alhamdulillah.

Ana ingin kongsikan kembali coretan lepas sebagai ingatan bersama. Mudahan bermanfaat.

.......

http://muslimahqawiyah.blogspot.my/2013/12/karyaku-tidak-perlu-untuk-dihargai.html

salam alaik!
wahai penghuni bumi Allah, ketahuilah! tiada yang indah melainkan indah itu di hati.

ana kekurangan mood untuk menulis semenjak ini. Terimbau kepada kekurangan diri. ana tidak berhajat untuk semua untuk menghargai karya yang ana tulis. walaupun berjela panjang, singkat perenggannya, penyampaian yang tidak seberapa, ana jatuh seketika apabila melihat karya orang lain dihargai.

ana ditegur oleh Allah. apakah tujuan ana menulis?

ana dihentak dengan berbagai persoalan. apakah semata-mata untuk menunjuk dan mempunyai ramai follower?

apakah semata-mata untuk menunjukkan kita baik dan pandai bermadah di khalayak ramai?
maafkan aku ya Allah.

kembali bersemangat menulis. ana ingin kongsikan sebuah cerita yang dipetik daripada pengalaman seorang pelajar pondok yang mengaji bersama tok gurunya. ana menjadi saksi dan cerita ini di olah oleh ana sendiri.

Suatu ketika, pelajar tersebut bertanya kepada gurunya. Wahai guruku, jika kau diberi peluang untuk menulis sebuah buku dan diedarkan dikhalayak umum, apakah kau akan menyetujuinya untuk menulis? Jawab guru itu, "ya sudah pasti".

tanya pelajar itu lagi. Bagaimana pula identitimu sebagai penulis buku tersebut, adakah kau ingin memberitahu kepada seisi dunia, bahawa itulah buku yang kau tulis?

Jawab guru itu, "aku akan menulis namaku, agar orang lain dapat merujuk kepadaku jika tulisan yang aku tulis itu terdapatnya kesalahan atau kekeliruan dalam pemahaman. Aku juga akan menulis latar belakang pengajianku sekadar yang perlu agar tidak terbit perasaan yang tidak baik oleh pembaca kepadaku. Tetapi aku tidak berhajat kepada pembaca untuk menghargai dan menitipkan kata-kata pujian di atas karyaku. Cukuplah Allah yang membalasnya. Niatku sekadar berkongsi dan memanfaatkan ilmu yang ada. Jika ada yang cuba untuk memberi penghargaan kepadaku, aku akan terima untuk pertama kalinya, tetapi tidak untuk kali keduanya. cukuplah sekali aku meraikannya, jika yang kedua itu aku anggap sebagai suatu kerosakkan yang bakal menerbitkan rasa ria' di dalam hati."

pelajar itu lalu terdiam.

p/s: pesananku, biarlah tiada yang menghargai sebarang karyaku. ana akan berusaha untuk mencontohi peribadi mulia ini. terus menulis, walaupun rasa tiada yang membaca, Allah kan ada untuk membacanya. Allah baca straight to my heart :-)

karyaku tidak perlu untuk kau hargai, cukuplah sekadar untuk kau faham dan kau amalkan.




11 October 2015

Coretan mendidik

Bismillahirrahmanirrahim.

Dalam kesempatan yang terbatas, ana ingin kongsikan sedikit perkongsian. Sambil menukilkan coretan, juzuk amma diperdengarkan untuk sesi mengulang. Ana selesa menggunakan lagu bacaan daripada adik Muhammad Taha AlJunied. Lagunya yang merdu mampu menarik perhatian kanak-kanak. Inilah teknik pembacaan AlQuran yang ana perdengarkan kepada anak-anak didik di sekolah mahupun di kelas pengajian. Mereka tertarik untuk mendengar lagi bacaan hafazan yang dialunkan, katanya seperti di dalam radio. Mereka bersemangat untuk meniru dan mempelajari bacaan seperti itu. Kataku kepada mereka, sedap tak penting, yang penting pelajari hukum dan makhraj terlebih dahulu. Sedap tak sedap itu yang terakhir :-) Seorang guru perlu mengetahui cara atau pendekatan yang terbaik untuk menarik minat anak didiknya mendalami sesuatu ilmu.

Alhamdulillah, selesai hari ini peperiksaan AlQuran Wa Tajwid. Terlihat wajah ceria anak-anak didik setelah menjawab soalan. Kertas  1 dan 2 kesemuanya perlu dijawab di dalam bahasa arab. Sebagai seorang guru yang mengajarkan subjek tersebut, pasti ternanti-nanti apakah soalan yang dikeluarkan oleh pusat peperiksaan SRI Malaysia. Alhamdulillah, semua yang diajarkan keluar. Berkat usaha ana dan anak didik melapangkan masa untuk belajar sehingga lewat malam. Permintaan kelas tambahan di saat akhir dipaksakan jua untuk hadir. Walaupun menyedari jadual hujung minggu adalah untuk masyarakat khususnya. Berkejaran daripada pagi sehingga malam. Sungguh jika kita lakukan sesuatu kerana Allah, tidak akan berasa penatnya. Terhibur dengan anak didik yang sangat teruja belajar sehingga lewat malam. Alhamdulillah.

Esok kertas bahasa Arab, mudahan mereka ingat kalimah-kalimah dan menghafaz nahu. Berpeluh mengajarkan mereka setiap hari. Semakin hari suara bertambah kuat. Sehingga anak didik menegur. Ustazah, saya pergi tandas lalu bawah. Masih dengar suara ustazah kuat. :-) Hari-hari bertanyakan kalimah dan maksud, bertanyakan nahu. Mana tidaknya, semakin hari semakin kuat. Mengajar matematik juga faktor semakin hari semakin garang. Untuk mengelakkan stress, ana memilih untuk berbual dan adakalanya menyelitkan lawak santai. Berbicara mengenai perjalanan hidup yang dilalui juga satu pendekatan untuk menarik minat mereka untuk mendengar kata. Mujurlah perit getir, suka dan duka memenuhi kamus hidup ini. Maka dimanfaatkan dan dikongsikan kepada semua anak didik.

Allah izin mengajar sekolah menengah secara hujung minggu. Peperiksaan mereka semakin hampir, mudahan Allah izin untuk faham dan memperolehi keputusan yang cemerlang.

Anak didik yang berbeza umur. 5-19 tahun. Daripada menjalani UPKK, syahadah ibtida'iah UPSRI, UPSR, PT3, SPM. Pelajar kolej juga turut diajar. Itupun jika ada permintaan. Untuk mengajarkan sebuah ilmu, memerlukan persediaan. Kadangkala terlalu lelah, hanya berdoa dan selawat kepada Allah untuk mengembalikan kefahaman ketika mengajar. Bulan 10 merupakan bulan terakhir sesi pembelajaran. Selepas ini akan fokus menghafaz dengan konsisten, hadiri kelas dengan penuh persediaan. Serta menyiapkan proposal master. Mudahan diterima :-)

Coretan pada hari ini berkisarkan pengalaman. Menulis kadangkala dapat bermuhasabah dan menyedari keupayaan diri. Ditegur mak setelah menyedari telefon bimbit rosak. Mak menyuruh muhasabah. Berapa banyak masa yang telah diluangkan kepada telefon? AlQuran terabai, hikmah Allah beri rosak. Mujurlah tidak terganggu emosi setelah menyedari kerosakan telefon ketika sesi mengajar anak didik petang tadi. Redha dengan kerosakan yang dihadapi. Mak meminjamkan telefonnya. Kata mak, mak ada telefon rumah. Mak tak busy macam dayah. Tapi mak tiada whatsapp. huhuhu. Terima kasih mak.

Kelemahan diri usaha diperbaiki. Sungguh banyak ingin menulis. Setiap hari dilalui dengan tiada cuti, sangat banyak ingin dikongsi. Biarlah di simpan di dalam ingatan. Tergelak seketika. Terimbau satu kenangan. Ketika itu anak didik berebut untuk mengambil gambar. Masing-masing bertolak. "Nanti kita tak nampaklah". kata mereka. Lalu ustaz menegur. Tak apa Allah nampak. huhuhu. Saya selaku photographer, turut bersetuju dengan kata-kata ustaz.

Jika ingin menukilkan satu demi persatu, banyak masa produktif akan terbuang. Sekian. Semoga Allah redha dan Allah sayang. Coretan ini saya ikhlaskan pembacaan untuk manfaat, selebihnya yang disimpan mudahan menjadi tatapan Allah di hari akhirat. Terimalah amal manfaat ini ya Allah sebagai amal soleh.

الا بخير تزداد التقوى

كن سعيدا فابتسم :-)

07 October 2015

Sukar bertukar nikmat.

Bismillahirrahmanirrahim.

Ya Allah jika coretan penaku ini tidak membawa sebarang manfaat kepada pembaca, sungguh ku sangat bermohon untuk memberikan kepadaku ilham dan kelancaran dalam berpena. Izinkan diri ini mencoretkan sebarang buah fikiran jua pendapat. Azamku cuma satu untuk terus menyebarkan manfaat meskipun dapat dirasakan tiada yang sudi membacanya. 

Terima kasih mak dan abah. Sudi mengingati makanan kegemaran anakmu ini. Sudah seminggu tidak menemui makanan itu. Apam balik. Ya, makanan ini sangat memberi makna. Sejak kecil menjadi makanan kegemaran. Di waktu sedih, gembira, kecewa, bergaduh, pasti akan diubati dengan kuih ini. Makan dalam tangisan pun masih merasai nikmatnya. Begitu juga apabila dalam kegembiraan. Makanan ini akan menjadi keutamaan meraikan sesuatu kejayaan. Kakak dan adik juga sering menjadikan makanan ini sebagai tanda memujuk jika ada sahaja perkara yang diperselisihkan. Abah jika melihat anaknya ini sedih, pulang daripada bandar pasti akan membelikan apam balik. Tidak tahu mengapa, kuih ini sangat terkesan. Pernah masa berada di sekolah menengah, menangis tersedu sedan apabila kuih ini yang dipesan terlupa dibeli oleh abah. Terpaksa abah membelinya juga kerana tidak sampai hati melihat anaknya menangis. Begitulah istimewanya kuih apam balik. Kakak kata, ternampak apam balik, teringat dayah :-)

Itu kisah apam balik.

................................................

Kisah ini cuba kita perhatikan dan kita hayati.

"Burn your desire!" tegas syeikh. Saya tertunduk, hati terpukul. Air mata ditahan. Terus saya tutup mushaf kecil yang dipegang. Persaan malu tidak tertahan. Hati rasa sebak. Lemahnya daya ingatan. Saya kembali mengambil wuduk, menunaikan solat dhuha, meluahkan segala isi hati di dalam sujud yang terakhir. Seusai memberi salam, terus kuat untuk kembali ke kelas hafazan sambil beristighfar sebanyak-banyaknya. Senyuman diukir. Terasa diberi kelegaan yang luar biasa. Benarlah hadis Nabi SAW: "Posisi seorang hamba yang paling dekat dengan tuhannya adalah ketika ia dalam posisi sujud." (Riwayat Muslim)

Sampai ke kelas, saya mulakan ta'awuz memohon perlindungan kepada Allah. Kemudian membaca semula mushah yang ditutup tadi. Saya membaca setiap ayat dan maknanya dahulu, kemudian memahami dan meneliti. Setelah itu mula menghafaz. Lima minit berlalu. Syeikh memanggil untuk mendengar hafazan saya. Saya membalas dengan senyuman dan anggukan. Kemudian membaca sehingga selesai satu muka surat. Terasa nikmat kali ini. Alhamdulillah, Allah menghadiahkan satu senyuman yang terukir di bibir syeikh yang ikhlas.

Kisah di atas merupakan sebuah pengalaman yang indah oleh seseorang yang merasakan sangat sukar menghafaz AlQuran. Allah memberi peringatan dan teguran melalui gurunya. Proses merawat hati dan membina hubungan dengan Allah adalah sangat penting pada setiap saat dan waktu.

Usaha ini merupakan bekalan menuju ke akhirat. Perjuangan tidak boleh terhenti sehingga kita dipanggil Allah. Semoga Allah menerangkan hati-hati kita dengan AlQuran dan menjadikan kita seperti mana generasi al-Quran yang terdahulu. Aamiin.

Inspirasi. Meskipun tidak terlihat kesukaran dalam menghafaz, yang memikulnya sahaja yang akan memahami. Terasa nikmat setelah menghantar bacaan yang lancar. Namun, berasa bersalah jika tidak lancar dan lupa kerana maksiat dan dosa. Sungguh tercabar dan berasa putus asa.

"Burn your desire" Satu ungkapan yang memaksa untuk mencari kekuatan. Mesti kuat untuk mencapai sesuatu keinginan. Usaha dan terus berusaha. Tersenyum membawa hikmah. Kuat untuk sampai ke penghujungnya. Jangan sesekali berhenti di tengah jalan.

Sedikit atau banyak hafalanmu, yang dinilai Allah keikhlasanmu dan berapa banyak yang kekal diingatanmu. Menghafaz itu mudah, untuk mengekalkannya sangat susah. Lapangkan dada ini, terangkan hati ini untuk menjaga kalamMu ya Allah.

Menangisi kelemahan diri. Jangan jauh daripadaku Allah. :-(


05 October 2015

Kampung

Bismillahirrahmanirrahim.

InsyaaAllah ana akan kongsikan coretan sebelum melelapkan mata.

Memilih untuk hidup di kampung berbanding di bandar. Antara kelebihan yang diperolehi.
1) Jimat belanja.
2) Ikut mak baca yaasin.
3) Ikut mak mandikan dan kapankan jenazah.
4) Ikut mak abah bersihkan masjid. Saya berjaya memanjat peran(loteng) masjid untuk membersihkannya. Orang tua tidak berapa kuat nak memanjat.
5) Dapat menguasai suasana masjid yang tenteram dan aman tanpa kehadiran lelaki.
6) Ikut mak program masjid.
7) Bergaul dengan orang tua.
8) Mendidik masyarakat dan anak jiran yang mempunyai thiqah yang tinggi pada keluarga. Ini pening kepala nak uruskan. hu3.
9) Dapat menghayati kehijauan sawah padi.
10) Dapat menghayati keindahan laut.
11) Dapat hantar mak ke sana sini. Pasar, kedai, masjid, klinik dan lain-lain.
12) Dapat menjalankan aktiviti dakwah dengan sukarela. Mak abah redha dan faham. Kadangkala mereka berminat untuk tahu. Modal untuk berbual dengan m.cik p.cik.
13) Dapat tengok atuk selalu. Atuk pernah risau. Katanya kalau dayah sambung belajar nanti siapa yang ada? Dayah belajar jumaat, sabtu dan ahad. isnin sampai jumaat dayah ada kat sini. :-)
14) Sokongan dan pantauan daripada mak abah.
15) Dapat jadi teman bergaduh mak dan teman kesunyiannya. Setiap hari ada sahaja perkara yang ana lupa buat. Pasti akan mendengar ceramah mak. Sehingga sudah biasa. hu3.
16) Jadi terkenal. Tumpang nama atuk, mak dan abah. Anak siapa? Status? Maaf,  sudah ada. ( Mak abah)
 :-) Ana pegang pada nasihat seseorang. Mengaku sahaja sudah ada untuk elak daripada berpenyakit hati. Tapi susah juga, kalau cakap sudah ada lagi mahu bertanya siapa, kerjanya, orang mana. Ramai pula yang sibuk bertanya, betul ke? hmmm... Kalau tiada, lagi pula diperhatikan dan dibandingkan dengan orang lain. Manusia...Akhirnya, memilih untuk berdiam. Apa adanya risikan dan istikharah. Islam itu mudah. Usah dipermudahkan dan diperberatkan.
17) Kesimpulannya, lebih banyak ilmu dipelajari di kampung. Rasanya tebal buku thesis jika nak dikarangkan. Lebih banyak dapat menabur bakti. Meskipun tidak mampu menyediakan kemewahan kepada orang tua. Cukuplah usia muda yang berbaki ini dapat hidup dihadapannya dan berbakti kepada mereka. Ada hikmah kenapa Allah hadirkan rasa untuk tidak berwalimah lagi. Rupanya Allah nak berikan nikmat hidup bersama mak dan abah di kampung. Selama ini, mereka usaha untuk membesarkan kami seorang demi seorang melanjutkan pelajaran. Takkan ingin pergi dengan cepat? Berbaktilah selagi masih sempat. Hanya akan berwalimah jika mak abah mengizinkan. Mak izin untuk mencari sendiri tetapi hanya perlu mendapat izin. Biarlah, cari atau tak cari. Aturan Allah tidak pernah akan tertukar. Berazam akan bawa mak abah ke syurgaNya dengan amal soleh dan AlQuran. InsyaaAllah. Fokus redha.

Kelebihan hidup di kampung :-)

04 October 2015

Produktif!

Bismillahirrahmanirrahim.

Sabahal kheir!
Di saat ini Allah izin untuk mencoretkan sesuatu.

Letihnya badan  usah dikira, jika berlama-lamaan di hadapan muka buka boleh, pasti mengajar dan belajar sebuah ilmu juga boleh berlama-lamaan. Mudah bukan.

Tidak perlu susah-susah untuk mencari perbezaan dan membezakan sesuatu dengan orang lain. Lihat sendiri pada keaiban diri. Cabar diri untuk lebih produktif. InsyaaAllah, sangka prasangka yang tidak baik dapat dijauhi. Muhasabah diri.

Hari demi hari, tidak perasan masa cepat sahaja berlalu. Hampir setahun meninggalkan dunia Universiti, hampir setahun meninggalkan dunia akademik, hampir setahun meninggalkan dunia korporat, hampir setahun tidak berpersatuan. Sekarang duniaku dakwahku :-)

Dahulu dilihat masih keanak-anakan, sekarang perlu berlagak menjadi dewasa. Hakikatnya, masih lagi keanak-anakan. 

Tiada masa untuk berlengah dan membuang masa. Di manakah hidayah yang produktif dahulu? 

Jika Allah izin akan melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih bermakna. Hajat doa semoga diperkenankan dan dipermudahkan oleh Allah. Sementara berbaki usia muda ini, korbankan masa lapangmu, korbankan hartamu. Bersemangat! Hammasah! Jiddiyah! Jangan lupa baktimu kepada kedua ibu bapa.


Jerebu masa di Usim
Kenangan Tamhidi Empat tahun yang lepas



Produktif