Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

23 February 2017

Hiburan hati.

Bismillahirrahmaanirrahim.
Allah izin pada hari ini menulis dalam masa yang terbatas.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT.
Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Dalam seharian, jangan pernah membuang masa. Hiburkan hati dengan perkara yang Allah redha.
Hadapi dengan tenang dan sentiasa bersangka baik kepada Allah dalam setiap perkara.

Sekejap sahaja masa berlalu pergi meninggalkan kita, masa yang berlalu mudahan meninggalkan kebaikan yang sentiasa megalir.  Aktiviti yang sama, rutin seharian mengajar, mendidik, berbakti. Allah izin masih kuat meneruskan. Orang yang melihat pula rasa penat, empunya badan tidak pula J

Muslimah terkadang lemah luarannya, ternyata masih mempunyai semangat dan keazaman yang tiada tandingnya. Futur itu adakalanya  mengganggu, tetapi dikuatkan hati untuk terus bersemangat.

Hari-hari yang dilalui, ada satu hari ana berasa sangat tersentuh. Ana merindui untuk duduk selamanya dalam pondok pengajian. Allah atur satu pertemuan dengan golongan ulamak untuk membincangkan tentang pencapaian sekolah. Ana berasa rendah diri, mereka yang hadir itu semuanya memiliki peribadi dan hati yang dekat dengan Allah.  Suatu bonus apabila ana dapat duduk bersama berbincang dengan guru pondok di baitul qurro’. Ustaz zul yang sangat meraikan. Terimbau kenangan mengaji kitab bersama ustaz di pondok. Ustaz sangat prihatin dan sangka baiknya kepada pelajar sangat tinggi. Rindu susuk peribadi ulamak ini. Pendekatan ustaz dalam menyampaikan ilmu membuatkan kami  tidak jemu untuk menuntut ilmu.

Jangan pernah rasa rugi kerana hadir dalam majlis ilmu, jangan rasa rugi menghabiskan duit menghadiri pengajian.  Azam untuk mempunyai pusat pengajian ilmu sendiri hasil daripada ilmu dan dana yang dikumpul sepanjang hidup di dunia. Walaupun hanya sekadar kelas mengajarkan ilmu AlQuran, itu sudah mencukupi. Medan menyampaikan perlu ada. Sekurangnya itu usaha kita untuk mendapat redha Allah. insyaaAllah.

Kadangkala, sakit itu dirasai. Sakit dalam kebaikan itu sebenarnya nikmat yang hakiki. Banyak perkara yang boleh kita hasilkan selama mana kita diberikan peluang dan masa untuk hidup di dunia. Niat yang baik pasti Allah jaga dan pelihara.


Wallahu a’lam.

12 February 2017

Ballighu 'anni walau ayah.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia nabi Muhammad S.A.W.

Allah gerakkan hati untuk berkongsi di ruangan ini. Menulis secara akademik itu sudah selalu, menulis dengan ilmu kehidupan itu memerlukan ruang dan semangat.

Jika memandang sisi kehidupan ini hanya kerana Allah, semuanya terlihat baik insyaaAllah.
Tiada daya dan tiada upaya kekuatan hanya melainkan Allah SWT.

Kejar manusia itu belum pasti dapat, kejar Allah pasti dapat.

Allah sudah berjanji dalam sebuah hadis qudsi. Mafhumnya: Barangsiapa yang datang kepadaKu sejengkal, AKU akan datang kepadanya sehasta, barangsiapa yang datang kepadaku sehasta, AKU akan datang kepadanya dengan sedepa. Barangsiapa yang datang kepadaKu dengan berjalan, AKU akan datang kepadanya dengan berlari.

Allah tidak akan mensia-siakan kehadiran kita walaupun kita datang kepadaNya dengan seribu satu dosa. Allah tetap mahu menerima.

Allah izin mengemas buku-buku yang bersepah. Kebiasaannya memang akan bersepah. Merujuk buku adalah satu kewajipan. Mengemas selalu ditangguh.

Ana terjumpa kitab-kitab dan sijil sanad daurah yang lama tersimpan. Ana memilih belajar kitab bermula daripada asas. Translate word by word. Syarah dari muka kitab hingga ke belakang kitab.
Untuk jadi 'alim itu tidaklah. Cukuplah dapat mengamalkan dan memahaminya.

Ana lama menyimpan azam untuk belajar dan amalkan kitab hidayathussibyan (aqidah) dan hidayatussallikin. Kitab yang mudah, tetapi hanya perlu menunggu masa dan waktu yang sesuai untuk mempelajarinya. Mungkin Allah izin untuk belajar daripada seseorang.

Ana fokus dalam mempelajari matan. Lebih singkat masanya. Alhamdulillah sepanjang keterlibatan dalam pengajian kitab, ana berjaya khatam beberapa kitab.

Sifat 20
Mukhtasar latif
Usul fiqh
Matan ajrumiyah
Matan alkhoridah al-bahiyah.

Masa sangat banyak terbuang sepanjang 3tahun ini, hakikatnya hanya mampu mengikuti 5 pengajian ini sahaja.
Pengajian bersiri masih dalam proses. Tidak tahu bila akan habis kitab syamail dan idaman penuntut.

Kadangkala hati akan terubat jika mengikuti majlis ilmu. Masalah dunia dapat dilupakan. Tidak sempat dan takut untuk berbuat maksiat. Menghadiri majlis ilmu adalah salah satu cara untuk menghindari daripada berbuat dosa. Kandungan yang disampaikan dapat menjadi panduan dan peringatan di saat lalai dan lupa. Manusia perlu diberi peringatan demi peringatan.

Jika mempunyai keluarga, dianjurkan untuk mewujudkan suasana ilmu kepada ahli keluarga. Tidak dapat sekali sehari, cukuplah seminggu sekali. Tidak mampu bersyarah, cukuplah membaca dan menghayati bersama-sama ahli keluarga. Usrah keluarga itu perlu ada untuk saling menguatkan dan memperingatkan.

Ana memegang kata-kata seorang guru ketika mengikuti pengajian kitab. Menurutnya, kamu sudah
berjaya khatamkan kitab ini, dan tugas kamu adalah mengajarkan kepada ahli keluargamu. Walaupun yang mendengarnya hanya seorang bayi. Jangan jemu mewujudkan suasana ilmu kepada ahli keluarga.

Lapangkan waktumu walau sekali dalam seminggu untuk mengikuti pengajian dan sampaikanlah walau sebaris ayat. Jangan malu untuk bertindak mengajarkan kepada orang lain.

Ma ta'akhkhar liman bada'a.
Tidak terlewat bagi siapa yang ingin mulakan.

Bagi sesiapa yang memahami cerita di bawah ini, dipersilakan untuk menghayatinya.



Wallahua'lam.

08 February 2017

Coret-coret Iman

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah izin, bicara sedikit walaupun hampir tiada kekuatan untuk berkongsi.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah di atas nikmat iman dan Islam.
Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.

Perancangan Allah itu sungguh hebat, kita juga tidak terduga.

Allah beri hadiah yang sangat tidak terjangkau oleh minda. Sejak bermula tahun lepas, ana buntu dan mencari ruang untuk menghabiskan hafazan dalam tempoh yang singkat. Sudah berazam sejak di sekolah rendah lagi. Mudahan diberkati dan dimakbulkan oleh Allah. Alhamdulillah berkesempatan mengumpul wang untuk menyertai daurah hafazan. Mudahan Allah izin kuat untuk menjadi hafizah. Bermanfaat kelak untuk anak didik. mak abah dan keluarga serta anak-anak. InsyaaAllah.

Pembelajaran anak didik setakat ini belum diurus dengan baik. Allah uji dengan banyak perkara, mujurlah iman ada sebagai penguat. Serba sedikit ana akan kongsikan bagaimana konsep dan pengaplikasian pendidikan bercorak kebajikan. Tidak sama dan tidak akan sama dengan yang lain. Kuncinya sabar dan sangka baik. Allah izin, pergi ke mana-mana dengan membawa nama Islam pasti dihormati dan diberikan keutamaan. Pergi tempah signboard pun masih ada yang sudi untuk mengurangkan harga. Betapa mulianya Islam Allah jaga.

Dakwah kepada student dan golongan profesional adalah sangat mencabar. Sekecil-kecil manusia sehingga setinggi-tinggi pangkat, ana tidak putus asa untuk menyampaikan. Ana masuk dengan semua orang. Melainkan yang bermegah dengan kedudukan dan pangkat. Disebabkan itu, ana sungguh-sungguh untuk mencapai pendidikan yang tertinggi agar tiada siapa yang boleh merendah-rendahkan dakwah yang ana cuba bawakan. Mereka akan kenal setelah mendengar dan duduk bersama. Menyusun usrah student ada caranya, begitu juga usrah yang bekerjaya. Kadangkala futur, tetapi perlu kuat untuk redhaNya. Teknik berbicara juga perlu mengikut tahap. Kita akan berasa puas setelah berjaya mengajak mereka untuk mengenal Islam dan bersama-sama dalam kebaikan. Daieah itu flexible. Campak di mana sahaja pasti boleh hidup. InsyaaAllah pasti dalam jagaan Allah.

Pengajian? Azam hadir setiap minggu untuk mengikuti pengajian kitab. Sekurang-kurangnya dapat menjadi peringatan dan terhindar daripada berbuat maksiat dan lalai. Jika suatu hari ana berkeluarga, ana harapkan ada suasana pengajian kitab berbentuk usrah setiap minggu walaupun hanya sekadar membaca bersama. Peringatan adalah sangat penting untuk manusia yang sentiasa lupa.

Berusahalah untuk menggapai redha Allah. Jika punyai masa yang terluang adalah lebih baik untuk beramal. Pulangnya kepada Allah untuk menilai. Sejauh mana persepsi ana dalam bidang mengumpul harta? Mengimbangi harta dan dunia kebajikan? InsyaaAllah ana cuba kogsikan. Harta  tidak banyak di dunia tetapi mengalir tidak putus dengan izinNya. Menyimpan dan melabur? Sambung pada entry yang berikutnya.

05 February 2017

Qowiy Dalam

Bismillahirrahmaanirrahim.

Luaran tidak menggambarkan sejauh mana kekuatan yang dimiliki.
Kuat dalaman adalah buah daripada iman.

Suatu masa Allah pasti izin yang terbaik.
Masa dan ketentuan yang tepat.

InsyaaAllah akan mula untuk bersemangat dalam dunia pendidikan, ilmu, dakwah dan kebajikan.
Ruangan kali ini akan tertumpu kepada pengajian kitab dan syarahnya.
Kritikan pendidikan zaman kini dan keberhasilannya kepada pelajar/murid.
Catatan tarbiah dan dakwah yang dilalui. Serta usaha melaksanakan kebajikan dengan harta yang tidak putus.

Mudahan Allah izin semua ini dapat dikongsikan agar menjadi manfaat.

Wallahua'lam.