Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

21 May 2017

Pujuk diri untuk qowiy.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Ringkas dan padat.
Mudahan tersisa kekuatan di penghujung sem ini. Masih berbaki satu sem lagi.
Tugasan perlu diselesaikan satu demi satu. Hampir collapse. Mengajar masih lagi boleh terpejam mata, menguruskan program masih boleh pujuk diri untuk bersabar, mendidik masyarakat masih lagi sanggup menerima. Mendidik manusia dan masyarakat tidak sama mendidik anak di rumah. Itulah yang diminati, penat ditanggung sendiri. Dengan menulis, dapat memujuk diri untuk terus qowiy.

Wallahua'lam.

17 May 2017

Kita masih ada Allah.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah. Selawat dan salam buat ArRasul Muhammad S.A.W.

Sebagai seorang pendidik, emosinya setiap hari pasti diuji. Terpulang kepada diri bagaimana caranya untuk mengatasi. Allah izin, untuk qowiy dengan kelas anak-anak tahap 1. Lincah dan aktifnya, hanya yang pernah mengajar tahulah. Penat itu diakui, tetapi terhibur dengan telatah yang mencuitkan. Masuk kelas tahap 2 pula, penatnya tidak. Emosi bertambah sakit bila mengetahui anak-anak mempunyai masalah disiplin dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Tanggungjawab mendidik itu ada di tangan kita. Sejauh mana untuk bersabar, Allah sahaja yang tahu. Begitu juga setiap hari perlu menghadapi karenah anak-anak masyarakat, sukarela untuk mendidik mereka dipetang hari. Maka perlu ditempuhi dengan berbaik sangka kepada Allah.

Sebagai seorang penuntut ilmu, ada sahaja yang memeningkan kepala. Menghadapi karenah ahli group, permintaan pensyarah yang sukar dilaksanakan, kepenatan berulang alik, kekurangan duit minyak dan tol. Itu semua diatasi dengan sangka baik. Usaha dengan bekerja lebih masa dan berdoa kepada Allah untuk dicukupkan rezeki. Mujurlah buraq yang dinaiki mempamerkan prestasi yang baik dan cemerlang. Tiada ragam. Semua masalah boleh diatasi. Tetapi ada masanya, terfikir untuk melepaskan cita-cita. Allah izin masih punyai akal yang waras dan iman yang sahih.

Sebagai seorang daie. Banyak perkara perlu bertolak ansur dan bersabar. Mengajak manusia kepada kebaikan bukan boleh berjaya dalam sehari dua. Tambahan pula, berdakwah kepada yang dewasa tua dan berpelajaran. Allah sahaja yang tahu, berapa banyak buku yang perlu dibaca dan dikaji. Berapa banyak kuliah dan kelas agama yang perlu dihadiri. Berapa banyak soalan-soalan yang perlu diperhatikan dan dijawab dengan berhikmah. Masa dan tenaga, dikorbankan hanya semata untuk menyampaikan kebaikan. Diri sendiri kadangkala mahu melepaskan tanggungjawab itu. Pernah berniat untuk membiarkan mereka yang dibimbing itu pergi dan mencari sendiri kebaikan. Allah izin masih punyai akal yang waras dan iman yang sahih.

Muslimah ada sahaja perkara ingin diluahkan dan dilepaskan bebanan dalam fikiran. Pada manusia? Tidak semua memahami dengan baik. Kembalilah kepada Allah, hanya kepadaNya tempat kita mengadu dan berharap.

Setiap hari memujuk diri, terus kuat untuk mencari redha Allah.

Wallahua'lam.



13 May 2017

Solat dan AlQuran

Bismillahirrahmaanirrahim.

Dengan menulis, mudahan Allah izin kembali bersemangat untuk setiap perkara yang dilakukan.
Mudahan hari-hari yang dilalui adalah persiapan untuk bertemu denganNya.

Setiap hari, bukan mudah diri ini untuk memulakan langkah. Bimbang tersungkur dipertengahan jalan. Hari-hari mengingatkan pada diri. Hidayah adalah aset ummah, jika terus bermalasan akan memudaratkan yang lainnya. Sudah bermula, perlu diteruskan. Jangan berhenti dipertengahan jalan.

Solat dan AlQuran adalah motivasi yang terhebat. Allah adalah matlamat. Jika ada masalah dengan 2 perkara ini iman akan lemah dan malas itu menguasai. Futur, tidak qowiy, tidak semangat dan penat.

Untuk kekal dalam kebaikan, berterusan melakukan kebaikan, jangan pernah tinggalkan suasana yang baik. Duduk bersama sahabat yang baik, bergaul dengan mereka yang baik, melakukan amal soleh tanpa mengharapkan ganjaran dunia, serta berusaha meyakinkan manusia untuk menjadi baik. Itu kuncinya.

Teruskanlah khidmat tanpa disuruh, teruskanlah berbakti meskipun sakit diuji, teruskanlah menyampaikan meskipun sering kali ditolak.

Meskipun penat tetapi tenang. Bersabar dan bersabar dalam menanti hikmah yang masih tidak tersingkap.

Mudahan Allah redha. Allah itu sangat baik kepada hambaNya.