Berdoalah!!!

Berdoalah!!!

27 July 2017

Kertas Peperiksaan yang berbeza-beza.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Setiap manusia diberikan kertas soalan peperiksaan yang berbeza dalam kehidupan. Jika meniru sekalipun tidak akan sama dan tidak akan tinggi markahnya. Bepegang kepada ilmu dan juga keyakinan yang tinggi kepada Allah pasti dibukakan jalan untuk menjawab kertas soalan yang diberikan. Usahlah berasa sedih memandang manusia lebih daripada kita bahkan kita perlu bersyukur kerana Allah masih mahu bersama dengan kita.

Maaf jika membuat mereka tertunggu-tunggu. Itu sahaja caranya untuk tetap kekal memperolehi redhaNya. Hanya doa tanda ingatan, selebihnya serahkan kepadaNya yang maha mengetahui. La hawla wala quwwata illa billah. Tiada daya dan upaya melainkan hanya kuasa Allah SWT.

24 July 2017

Syawal melabuhkan tirainya.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta Alam.
Selawat dan salam buat junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Syawal melabuhkan tirainya. Allah izin melengkapkan pahala puasa 6 di penghujung syawal. Setiap kali ingin berpuasa, Allah uji dengan badan yang tidak sihat dan ada sahaja undangan rumah terbuka. Mujurlah Allah berikan kesempatan. Alhamdulillah.

Acara tahunan rumah terbuka kali ke tiga berjaya dilaksanakan walaupun rasa tidak yakin kerana mak tidak dapat membantu. Allah uji mak dengan patah tangan. Mak hanya mampu mendoakan anaknya ini untuk berdiri dengan sendirinya :-). Alhamdulillah juadah dapat disediakan, nikmat ukhuwah masih terus dirasai. Berduyun-duyun kenalan dan anak didik hadir bersama keluarganya. Meriah. Allah izin semuanya berlaku kerana kita niatkan hanya keranaNya. Masyarakat sangat menyantuni diri ini walaupun masih lagi baru dalam mengenal erti kehidupan. Penat tidak berasa. Allah izin tidak keletihan. Esoknya masih boleh mengajar dan travel seharian ke negeri sembilan. Alhamdulillah.

Tersenyumlah memandang manusia disekelilingmu.
Tiada beza mereka semua dengan kita.
Di sisi Allah adalah taqwa.

Ilmu yang mengangkat darjat seseorang.
Biarlah dihormati kerana ilmunya bukan pada pangkat dan harta.
Seorang sarjana itu adalah yang memberi manfaat kepada masyarakat.

Suatu hari nanti, pasti ada yang memahami jiwa ini dan membangun bersama. Jalan ini panjang dan perlu kepada kesabaran. Memberi perlu ada. Ilmu dan harta seiringan. InsyaaAllah.

Anak muda, usahlah tersisih jika tidak dihargai. Ambillah pengajaran daripada susuk peribadi Uwais Al-Qarni. Namanya tidak dikenali di dunia, tetapi masyhur dan di sebut-sebut di langit sana.

Wallahua'lam.

13 July 2017

Ilmu dan Hari raya.

Bismillahirrahmaanirrahim.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan semesta alam. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.  Salam dan doa dipanjatkan buat para sahabat, tabien dan tabi' tabien, ahli keluarga baginda dan juga kepada semua penerus dakwah dan risalah perjuangan baginda dalam menyebarkan agama Islam.

Terdetik untuk berkongsi beberapa perkara sebagai satu mangkin dalam meneruskan kehidupan yang penuh mehnah dan ujian ini. Nikmat sihat ditarik Allah dalam tempoh 2 hari. Tidak dapat berbuat apa-apa, hanya mampu untuk terus melawan sakit yang ada. Allah izin untuk kembali sihat, bersemangat menghimpun kekuatan menghadapi kehidupan dengan penuh ketaqwaan.

Lama mencari sebab untuk tersenyum. Atuk kata, buatlah sesuatu perkara yang dapat dimanfaatkan. Jangan melihat orang lain lebih. Ikhlas itu kunci sebuah amalan. Istikhlas qablal ikhlas.

Rindu bicara ikhlas daripada seorang ulama'. Azam untuk hadir ke pengajian yang menghimpunkan ratusan dan ribuan penuntut ilmu yang ikhlas di bulan yang mulia ini. Itulah kekuatan dan kerehatan. Ilmu yang diperolehi itu tidak hanya didengar dan dihadamkan, tetapi hendaklah dilaksanakan dan disampaikan kepada mereka yang terdekat. Allah izin memiliki ahli keluarga, mad'u dan juga anak-anak didik yang boleh disampaikan. Ilmu itu sebagai peringatan buat diri yang buat-buat lupa dan juga sememangnya terlupa. Masyarakat amat memerlukanmu.

Tersenyumlah membawa hikmah, hari raya medan mengeratkan silaturrahim. Mudahan Allah redha.

10 July 2017